Hibbi jamalu fatanna..
Aw ma bi lahsun asarna
Ghusnun thanaa hinama
Lagu itu aku nyanyi kecil. Aku K. Usah tanya nama penuhku. Aku tiada tahu. Selama ingatan aku, begitulah mereka panggil. Guna abjad itu. K. Aku sudah besar. Sudah bekerja pun. Dan kerja aku senang. Setiap hari aku keluar bekerja memakai serba hitam. Dan mengekori orang. Itu pun jika diarahkan oleh pihak atasan. Dan hari ini aku perlu keluar lagi.
Sembilan puluh sembilan hari lepas aku ditugaskan mengekori seorang gadis. Seorang yatim piatu. Mengikut perkiraan aku dia berumur dua puluh tahun, lapan bulan dan tiga hari. Jadi yatim piatu sembilan puluh hari lepas. Kemalangan tragis. Ahli keluarganya semua maut dalam pengeboman berani mati di Beirut. Dan ya aku ada di luar sana ketika rumah pangsa dari material murah itu meletup di tingkat lima. Dia terselamat kerana waktu itu berada di kampus menghadiri kuliah.
Dan dia meraung bagai gila bila pulang dan melihat cuma runtuhan konkrit dan besi menutupi tapak rumah pangsa kelabu itu. Aku perhati dari jauh. Jangan hakimi aku. Aku tiada perasaan.
Lalu dia merayau-rayau tiada hala tuju. Ibu saudaranya yang terus ke Beirut dari Zahle mujur sempat ketemu dia sebelum dia terjun dari bangunan universiti. Ya aku tahu itu bukan ajalnya. Ajalnya bukan dari impak yang menghancurkan kepala dan organ dalaman begitu.
Dia dibawa ke Zahle. Zahle, satu kawasan indah di Lebanon. Ibu saudaranya amat berharap kebun anggur Zahle bisa merawat jiwa gadis itu. Hah. Buat aku ketawa dalam hati. Lebih menyusahkan aku. Perlu berjauhan dengan orang atasan. Namun aku tunggu. Hari ini seperti apa aku buat sembilan puluh sembilan hari lepas, aku memandu lagi kereta buruk biru ini. Senang. Tidak ramai orang akan perasan.
Aku ekori dia setiap langkah. Makin hari, makin dekat. Aku malah ada di sebelah dia semalam ketika keluar makan. Aku terus perhati. Dia makan sedikit saja. Cakap juga sedikit. Banyak angguk, dan geleng. Lemah. Bagus. Aku nyalakan sigar. Asap tembakau itu bercampur rasa rempah. Sedut, dan biarkan asap wangi itu seketika dalam mulut. Hembus. Bila aku haus wain Zahle aku minum. Manis. Sabar.
Wa'adi waya hiradi
wa'adi waya hiradi
manli raahiimu shakwati
filhubbi min lau'ati
Dia di dalam rumah ibu saudaranya. Duduk di sofa. Menung. Berdiri di pintu. Pandangan mata kosong. Nampak pucat kulitnya. Bibirnya kering. Makin kurus dari hari pertama aku ekori dia.
Illa maliikul jamal
Illa maliikul jamal
Illa..maliikul jamal
Illa maliikul jamal
Dia masih bersedih. Di altar yang terpasang lilin di antara bingkai gambar ahli keluarganya dia meratap. Berpegang kuat kepada kepercayaan Kristian Maronite yang kini cuma lapan peratus saja saki baki yang tinggal di Lebanon ini, dia berdoa supaya Santa Maron membawa keluarganya ke syurga. Dan dia berdoa supaya ketemu mereka. Dia percaya kepada Mariam. Dia percaya kepada Zakaria. Dia percaya kepada John. Juga Jesus dan Roh Kudus.
Malam. Dia selalunya tidur awal. Kerja rumahnya tidak banyak. Selepas mencuci pinggan makan malam, terus dia berselimut di dalam kamar yang dikongsi dengan sepupunya. Kamar itu gelap. Tingkap pula...hah. Buat senang kerja aku. Sentiasa terbuka untuk angin malam bertiup masuk. Sedang lena, aku mendekati dia.
Tanpa dipaksa dia membuka mata. Mulanya dia terkejut tetapi seperti mangsa dalam tugasan yang lain, tidak bisa bersuara sebelum aku bersuara. Aku cuba senyum. Aku tahu, tidak ramai malaikat maut yang mampu buat begini.
"Kamu sudah sedia?"
Dia tampak bingung dengan kata-kataku. Dia bertanya dengan getar dalam suara. "Se...sedia ke mana?"
"Ketemu keluargamu. Di alam satu lagi."
"Kamu..." matanya bersinar cerah.Dia juga percayakan malaikat maut. "Ya, aku sedia."
"Bagus. Kini pejam mata."
Dia menurut. Dia percayakan malaikat maut menjemput dia. Ya. Aku keluarkan Taurus 9mm yang disertakan penyerap bunyi. Aku halakan ke kepalanya dan aku tarik picu. Tubuhnya tersentak lalu terbaring akibat impak tujahan dan pusingan peluru itu.
Imej dia dan teman lelakinya berpacaran di kampus bermain dalam minda. Enak berpegang tangan di tepi tasik. Berganti pula imej ahli keluarganya yang agak keliru namun menerima bungkusan hadiah dari aku. Ah...kerja kali ini sungguh mudah. Malam ini Quwayta Batroun mengikut jejak ahli keluarganya ke alam satu lagi.
Satu konspirasi. Amaran kepada si teman lelaki. Tinggalkan negara ini.
Dan aku tulis nota kepada teman lelakinya, ejen Mossad yang berselindung di Lebanon menggunakan darahnya. Nota itu aku tampal di lubang kepala gadis tersebut. Malas menulis panjang-panjang tentang hidup dan mati satu permainan dan ada kalah menang, aku pilih dua perkataan.
PADAN MUKA
Amaan amaan...amaan amaan~
*lagu: Lamma Bada Yatathanna
artis: Lena Chamamyan
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-Bukan Karya Terbitan 2.5 Malaysia Creative Commons.
Karya asal: MissClarks,
Sumber: http://www.kapasitor.net/ms/cerpen/post/2008
No comments:
Post a Comment