Bertemu dengan ikhwah Palestine menyebabkan hati ini terharu. Terharu kerana pertama dapat bertemu dengan salah seorang pejuang agama di Palestine yang benar-benar thabat di jalan Allah. Keduanya, memikirkan diri ini terlalu rendah dan tersangat kecil apabila mengimbau kembali kesalahan-kesalahan yang dilakukan sebelum ini. Dikala hati ini tengah merasai kefuturan, Allah pertemukan aku dengan ikhwah ini yang sememangnya membawa kembali aku kepada realiti kehidupan yang sebenar.
Sedikit latar belakang mengenai ikhwah ini; dikenali sebagai Syed dan beliau merupakan seorang doktor yang melanjutkan pelajarannya ke peringkat PhD di Malaysia. Sudah berkahwin dan mempunyai 7 orang anak dan kebanyakkan anak-anaknya sudah menghafal Al-Quran. Beliau pernah dipenjarakan di beberapa buah penjara berhampiran dengan Gaza seperti Mesir dan yang terakhir sekali ialah di Israel. Pengalaman yang tersangat indah sebenarnya bagi beliau apabila dipenjarakan kerana dapat melakukan amal islami dengan para ikhwah yang sama-sama dipenjarakan. Keadaan ini berlaku di penjara Israel selama setahun dan boleh dikatakan kehidupannya di penjara tersebut seperti daurah. Beliau yang baharu sahaja keluar dari penjara tersebut bercadang untuk meneruskan pengajiannya di Malaysia. Masyallah. Terasa seperti berdepan dengan seorang mujahiddin yang sudah siap sedia untuk ke lapangan jihad.
Menurut beliau, masyarakat Palestine juga sama seperti masyarakat Islam di Malaysia. Kehidupan anak-anak muda yang penuh dengan noda dan kelalaian yang berpanjangan. Masjid-masjid hanya dipenuhi pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik yang membilang usia. Memang tidak ada bezanya dengan negara kita ini. Cuma batu loncatan bagi Islam untuk dipraktikkan semula di Palestine adalah ketika mulanya peperangan. Dari situ barulah perubahan demi perubahan berlaku seperi yang dapat dilihat pada hari ini. Sehinggakan anak-anak menjadikan Al-Quran jantung hati mereka. Subhanallah....
Oleh itu, sebagai seorang mu'min, menjadi kerja kita untuk menyambung tugas para anbiya' yang terdahulu. Tidak cukup sekadar beribadah tetapi sanggup berkorban apa sahaja di jalan Allah. Ia bukanlah suatu yang menjadi pilihan samada mahu buat atau tidak bahkan tidak lain tidak bukan hanya satu sahaja iaitu berdakwah kerana manusia sering lupa akan tanggungjawabnya di atas muka bumi ini. Bukan sekadar mahu memberi nafkah kepada keluarga bahkan lebih besar daripada itu iaitu menegakkan kalimah Islam di atas muka bumi ini.
Seakan mahu melelehkan air mata sahaja apabila mendengar cerita-cerita penderitaan dan pengorbanan yang dilakukan ikhwah di Palestine. Mereka sanggup keluar berjihad walaupun baharu sahaja melangsungkan perkahwinan. Si ibu merelakan pemergian anaknya untuk berjihad walaupun mereka tahu sekali kaki melangkah pergi tidak pasti lagi akan pulang. Mereka juga sudah siap sedia untuk menyambut peluru-peluru jet pejuang yang bakal jatuh bila-bila masa sahaja dari langit.
Menurut Syed lagi, dia akan cuba untuk menamatkan PhD nya secepat yang boleh kerana dia mahu berkhidmat terus untuk negaranya sejurus tamat pengajiannya di Malaysia. Walaupun dia tahu kehidupan di Malaysia amat-amat aman dan tenteram, tetapi pilihannya ialah PALESTINE.
Semoga anta berjaya Syed. Barakallahufik....
No comments:
Post a Comment